19 Mei 2025
19 Mei 2025, ALOR SETAR – Pejabat DPMM Kedah petang ini menerima kunjungan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Ibu Pejabat Kuala Lumpur.
Kunjungan ini diketuai oleh Encik Shah Nizam Ahmad, Timbalan Pengarah Unit MyTrade Digital, bersama Cik Nur Shahirah, Pengurus Unit MyTrade Digital, serta Encik Ezual, wakil dari Pejabat MATRADE Pulau Pinang. Delegasi ini disambut mesra oleh Yang Dipertua DPMM Kedah, Datuk Mohd Zayad Ismail, bersama barisan Ahli Jawatankuasa.
Pertemuan ini antara lain bertujuan untuk memperkukuh jaringan strategik serta meneroka potensi kerjasama antara MATRADE dan DPMM Kedah, khususnya dalam usaha membantu syarikat-syarikat tempatan di negeri Kedah menembusi pasaran eksport.
Antara intipati lain yang turut disentuh adalah Pengenalan Penjelasan mengenai inisiatif MyTrade Digital dan manfaatnya kepada pengusaha tempatan, Cadangan penglibatan aktif DPMM Kedah dalam inisiatif perdagangan digital, serta Jemputan kepada wakil-wakil DPMM Kedah untuk menghadiri Program Outreach Perdagangan Digital MATRADE Wilayah Utara yang bakal berlangsung dari 19 hingga 21 Mei 2025. Program tersebut bakal menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran serta pendedahan terhadap peluang eksport digital di kalangan usahawan negeri Kedah, khususnya ahli-ahli DPMM.
Melalui pertemuan ini, diharapkan terjalin hubungan strategik yang lebih erat antara MATRADE dan DPMM Kedah dalam memacu pertumbuhan eksport syarikat tempatan, seiring dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh ekonomi digital dan memperluas jaringan perdagangan luar negara.
Semoga inisiatif sebegini akan terus diperkasa lagi pada masa-masa akan datang.


