Alor Setar, 24 Mac 2025 – Pagi ini, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah telah mengadakan Majlis Sumbangan Aidilfitri, menyantuni 20 penerima yang terdiri daripada asnaf usahawan anak Kedah. Majlis ini bukan sekadar sebuah acara, tetapi simbol keprihatinan dalam membantu golongan yang memerlukan, sekaligus membuktikan komitmen DPMM Kedah terhadap tanggungjawab sosial.
Program-program kebajikan melalui sumbangan wang tunai ini didorong oleh sokongan para pembayar zakat yang terus mempercayai Yayasan DPMM Kedah. Hasil kerjasama erat dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), jumlah kutipan zakat semakin meningkat setiap tahun, membolehkan lebih ramai asnaf menerima manfaat melalui agihan semula wang zakat yang lebih menyeluruh.
Majlis penyampaian sumbangan ini disempurnakan oleh Yang Dipertua DPMM Kedah, Datuk Mohd Zayad Ismail, bersama Timbalan Yang Dipertua, Hj. Zulkifli Khamis. Turut hadir ialah Setiausaha Kehormat, En. Mohd Ismadi Ismail, serta Ahli Jawatankuasa, En. Mohd Ferdaus Kalkausar.
DPMM Kedah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang hadir serta para pembayar zakat yang telah menunaikan zakat mereka melalui Yayasan DPMM Kedah. Semoga setiap amal kebaikan ini diterima oleh Allah SWT dan menjadi bekalan pahala yang berkekalan di akhirat kelak.


