DPMM Kedah menerima banyak aduan daripada peniaga yang bergelut untuk menetapkan harga jualan kepada pengguna. Melihat kepada tren kenaikan mendadak ini, yang mana melebihi daripada paras “normal”, seharusnya kegelisahan peniaga-peniaga ini berasas. Situasi ini sangat dibimbangi akan menyebabkan peningkatan inflasi dalam masa terdekat yang tentunya akan lagi membebankan peniaga dan pengguna akhir. Statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan tren kenaikan ini, yang mana Indeks Harga Pengguna telah meningkat 3.3 peratus kepada 124.0 pada November 2021 daripada 120.0 pada tahun lalu. Manakala Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan meningkat sebanyak 12.3 peratus pada September 2021, berbanding 9 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Salah satu faktor yang diperkatakan mengenai kenaikan harga barang ini adalah berkaitan dengan manipulasi oleh orang tengah, ataupun kini popular disebut rakyat sebagai ‘kartel’. Peranan orang tengah dalam mempengaruhi harga pasaran memang sudah diketahui umum, dan sudah berakar-umbi dalam sistem perniagaan kita. Namun apa yang dikesali adalah ‘kartel’ ini dilihat seolah-olah kebal, sukar ‘disentuh’ dan sangat berpengaruh dalam menentukan harga di pasaran, hingga dikatakan mengatasi kuasa kerajaan. Ini diakui sendiri oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang mendedahkan peningkatan harga hasil pertanian dan penternakan di pasaran ini disebabkan manipulasi harga oleh orang tengah. Orang tengah yang disebut “kartel’ ini dikatakan melakukan kawalan terhadap rantaian bekalan. Mereka saling bekerjasama sehingga berlaku monopoli dalam pasaran. Sudah tentu manipulasi boleh berlaku sekiranya rantaian bekalan tidak bersifat terbuka atau telus. Sekiranya situasi seperti apa yang diperkatakan maka di mana peranan kerajaan. Apa yang dilihat agensi-agensi kerajaan seperti kurang berfungsi dalam menguruskan kemelut ini. Walaupun kerajaan menegaskan bahawa mereka ada mengambil langkah dalam menangani isu ini melalui agensi-agensi tertentu, hakikatnya harga barang terus meningkat saban hari.
DPMM Kedah melihat negara secara umumnya memerlukan model perniagaan yang baharu bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang yang disebabkan oleh peranan orang tengah dalam rantaian bekalan. Model rantaian bekalan yang diguna pakai ketika ini perlu diubah kerana sektor perniagaan seperti usahawan mikro dan industri kecil dan sederhana (IKS) dilihat tidak lagi berdaya maju. Pengenalan model perniagaan baru yang inklusif merupakan salah satu inisiatif untuk membantu mempercepatkan pemulihan terutama industri IKS, selain pendekatan lama seperti menawarkan bantuan subsidi, pinjaman kewangan dan bimbingan perniagaan. Model baru perniagaan boleh juga merangkumi pengenalan mekanisme baharu oleh agensi-agensi kerajaan dalam mencari jalan penyelesaian dengan membuang dasar-dasar lama yang tidak memberi kebaikan kepada rakyat. KPDNHEP contohnya perlu mengkaji segera seluruh rantaian makanan daripada peladang, pengedar, pemborong serta peruncit dan kenal pasti di manakah punca kepada masalah ini, dan jika boleh lakukan ubah suai atau penyingkiran pada rantaian yang boleh menimbulkan masalah. Sistem pasaran bebas juga perlu dipantau, dengan memastikan setiap rantaian perniagaan dijalankan dengan efisien dan telus. Saluran pasaran berkonsepkan ‘dari ladang terus kepada pengguna’ boleh dipraktikkan – lebih kurang sama seperti konsep pasar tani ataupun ‘nat’ di pelbagai lokasi. Saluran seperti ini akan dapat menawarkan bekalan hasil pertanian pada harga yang berpatutan iaitu 5-20 % lebih rendah berbanding harga pasaran yang dimainkan oleh orang tengah. Kerajaan juga boleh mewujudkan platform e-dagang untuk pemasaran produk-agro yang mana dilihat mampu menstabilkan harga pasaran. Pendekatan seperti ini, selain dapat menstabilkan harga, ia juga salah satu cara membantu usahawan agro memasarkan produk mereka.
Kenyataan Media oleh:
Datuk Mohd Zayad bin Md. Ismail.
Yang Dipertua
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Kedah