6 Mei 2025 | Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar.
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Kedah sekali lagi diberi kepercayaan menyertai Operasi Haji Tanah Air (OHTA) bagi musim haji 1446H/2025M, Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut DPMM Kedah terlibat secara langsung dalam operasi penuh bermakna ini.
Seramai 15 orang sukarelawan terdiri daripada YDP, TYDP, NYDP bersama ahli serta kakitangan DPMM Kedah, telah digerakkan untuk membantu para petugas Tabung Haji dalam menyantuni dan melancarkan urusan keberangkatan jemaah haji stesen Alor Setar. Penyertaan ini bukan sekadar menjalankan tanggungjawab sosial, tetapi juga merupakan satu bentuk amal fi sabilillah.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) DPMM Kedah — satu usaha murni yang menggambarkan semangat kebersamaan dan sokongan terhadap perjuangan suci menyantuni para jemaah haji.
DPMM Kedah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Tabung Haji Negeri Kedah atas kepercayaan dan kerjasama strategik ini. Semoga sinergi yang terbina ini akan terus memberi manfaat besar kepada masyarakat dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Ucapan penghargaan juga kepada Ameera Optometrist Pendang, ahli DPMM Kedah, yang telah bermurah hati menyumbangkan cermin mata hitam kepada setiap jemaah bagi slot hari ini. Sumbangan ini amat dihargai dan diyakini akan memberi keselesaan tambahan kepada para jemaah.
DPMM Kedah mendoakan agar semua jemaah haji diberi kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan, dan dikurniakan haji yang mabrur. Selamat menunaikan ibadah haji. Semoga segala amal ibadat di tanah suci diterima Allah SWT. Aamiin.











