Dewan MUDA

Dewan Muda merupakan satu hasil daripada dua sayap baru bagi DPMM. Hasil idea Dato’ Seri Abdul Rahman Maidin, ia ditubuhkan pada bulan Julai 2001. Sayap baru Dewan ini memberi perhatian serta menempatkan golongan muda Melayu yang berumur di antara 18 hingga 35 tahun dalam arus perjuangan DPMM.

Penubuhan Dewan Muda adalah penting kerana, sebagai generasi pelapis serta barisan pewaris, penerusan kesinambungan pertubuhan ekonomi dan pembangunan negara yang terletak di atas bahu golongan muda. Dengan adanya Dewan Muda sebagai wadah penggabung, langkah-langkah dapat diambil untuk mempersiapkan dan memperkasakan mereka bagi menghadapi cabaran-cabaran masa depan, terutamanya perubahan ekonomi negara yang semakin terikat dalam kepesatan arus globalisasi dan liberalisasi.

Selaras dengan struktur organisasi DPMM, Dewan Muda juga mempunyai cawangan di setiap negeri termasuk di Negeri Kedah. Sebagai wadah penggabungan, Dewan Muda Negeri Kedah telah mengatur program-program kerjasama dengan semua persatuan atau kelab usahawan muda yang sedia ada. Semoga, dengan adanya Dewan Muda Negeri Kedah, ia dapat memainkan peranan yang penting terutama dalam meningkatkan taraf ekonomi muda supaya selari dengan arus pembangunan dan kepesatan di dalam Negeri Kedah.

Antara objektif Dewan Muda adalah :

  • Mewujudkan rangkaian usahawan muda Melayu di peringkat negeri, negara dan antarabangsa serta seluruh lapisan masyarakat di peringkat negeri dan negara;
  • Mewujudkan kumpulan-kumpulan pakar untuk menjalankan kajian dalam bidang ekonomi, teknologi dan agama yang berupaya membantu dan menyokong usaha-usaha Dewan Muda, dan merintis projek-projek penswastaan Kerajaan untuk diagihkan kepada ahli dan usahawan muda Melayu;
  • Mewujudkan bazar-bazar peruncitan di seluruh negara untuk diceburi oleh ahli dan usahawan muda Melayu;
  • Meningkatkan keberkesanan dana usahawan untuk ahli khasnya dan usahawan muda amnya;
  • Merangka program-program seperti piawaian dalam pelbagai bidang untuk membantu ahli-ahli menerapkan aktiviti dan amalan perniagaan antarabangsa.

Bangsa Melayu Negeri Kedah yang ditingkatkan maruah dan martabatnya perlu dipupuk dan dibina lengkap dalam semua hal dan dari semua segi psikologinya, mindanya, dan budayanya. Lantaran itu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Kedah Darul Aman – di samping membantu kepimpinan politik negeri memaju di samping membantu kepimpinan politik negeri memaju dan membangunkan ekonomi negeri – ekonomi bangsa demi mencetuskan kelak satu masyarakat usahawan Melayu Negeri Kedah yang belandaskan ciri-ciri tersebut :

  • Melahirkan satu masyarakat usahawan Melayu Negeri Kedah yang sentiasa bermuafakat dalam segala hal dan dari segala segi. Bersatu padu dan kuku serta mantap
  • Melahirkan satu masyarakat usahawan Melayu Negeri Kedah yang teguh dan terbentuk jiwanya, yakin akan dirinya sendiri, bangga akan pencapaiannya, tangkas menghadapi rintangan, sentiasa mengejar kecemerlangan, menyedari kemungkinan dirinya, tidak terkongkong jiwanya, bebas dari sifat kebergantungan terhadap kerajaan dan dihormati pula oleh semua bangsa dunia
  • Melahirkan satu masyarakat usahawan Melayu Negeri Kedah yang tinggi nilai rohaninya, utuh nilai moral dan etikanya dan luhur pula budi dan pekertinya
  • Melahirkan satu masyarakat usahawan Melayu Negeri Kedah yang bertunjangkan pada sains dan teknologi dan berdaya cipta yakni satu masyarakat usahawan Melayu yang bukan sahaja dapat memanfaatkan teknologi terkini dan masa depan tetapi turut menyumbang terhadap peradaban sains dan teknologi pada masa hadapan
  • Melahirkan satu masyarakat usahawan Melayu Negeri Kedah yang tinggi dan mantap keikhlasan dan yang lebih mementingkan kepentingan bangsa dan masyarakat dari kepentingan peribadi
  • Melahirkan satu masyarakat usahawan Melayu Negeri Kedah yang mendalam minatnya terhadap ilmu pengetahuan, tinggi daya fikirannya, canggih mindanya, jauh visinya dan dalam serta luas pula pengetahuannya untuk menghadapi cabaran dan persaingan dunia perniagaan
  • Melahirkan satu masyarakat usahawan Melayu Negeri Kedah yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan negeri dan negara, mampu dan berani menghadapi persaingan, senantiasa bersifat dinamis dan tangkas serta mempunyai daya pertahanan yang tinggi.