21 Disember 2025.
Pagi ini, DPMM Kedah telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di daerah Kubang Pasu, Kedah melalui Program Bantuan CSR Pasca Banjir, yang diselaraskan oleh Pusat Khidmat ADUN Bukit Kayu Hitam.
Sebanyak 40 penerima yang terpilih dari mukim Kubang Pasu, Mukim Temin dan Sungai Laka menerima sumbangan ini. DPMM Kedah sedar bahawa bilangan penduduk yang terjejas akibat banjir pada akhir November dan awal Disember 2025 adalah sangat besar, khususnya di daerah Kubang Pasu, namun atas kekangan peruntukan, hanya penerima yang tersenarai telah dipilih untuk menerima bantuan. Terima kasih kepada Pusat Khidmat ADUN Bukit Kayu Hitam yang membantu menyediakan senarai penerima tersebut.
DPMM Kedah juga memohon maaf kepada mangsa-mangsa banjir yang lain yang tidak dapat disantuni dalam program ini, dan merakamkan penghargaan kepada YB Datoโ Hajjah Halimaton Shaadiah bt Saad kerana sudi membenarkan penggunaan pusat khidmat beliau untuk menyampaikan sumbangan. YB Kak Ton turut meluangkan masa bersama-sama meraikan para penerima.
Sumbangan yang disampaikan oleh YDP Datuk Mohd Zayad , yang berbentuk wang tunai ini adalah daripada tabung agihan semula kutipan zakat perniagaan yang dikumpulkan melalui DPMM Kedah bagi tahun 2024. Sejak tahun 2017, DPMM Kedah telah dilantik oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebagai agen kutipan zakat LZNK. Melalui agihan semula kutipan zakat yang dikembalikan kepada DPMM Kedah, bantuan ini akan disalurkan kepada golongan yang layak menerimanya melalui aktiviti-aktiviti dan program-program yang dijalankan oleh Dewan. Ucapan terima kasih ditujukan kepada semua pembayar zakat yang melunaskan tanggungjawab sebagai seorang muslim melalui DPMM Kedah. Semoga sumbangan walaupun kecil ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka yang terkesan.
DPMM Kedah berharap agar program-program berbentuk CSR pasca bencana seperti ini akan dapat menambah barakah dan memperkukuhkan silaturrahim di kalangan kita semua.
Sebagai fakta tambahan, Kubang Pasu mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi di Kedah, dengan ribuan penduduk terjejas dan ditempatkan di pelbagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Pada puncak banjir, seramai lebih 2,400 mangsa daripada kira-kira 897 keluarga berada di 15 PPS di Kubang Pasu




