Mesyuarat Penyelarasan Program Syarikat Bumiputera Bersama MIDA

10 Mac 2026.

DPMM Kedah hari ini menerima kunjungan delegasi daripada Malaysian Investment Development Authority (MIDA) bagi mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Program Syarikat Bumiputera yang dirancang untuk dilaksanakan di wilayah utara.

Dalam pertemuan tersebut, pihak MIDA memaklumkan cadangan untuk menganjurkan satu program khas pada 27 April 2026 di Sungai Petani yang bertujuan memberi pendedahan, fasilitasi serta membuka peluang perniagaan kepada syarikat-syarikat Bumiputera, khususnya usahawan di Kedah dan wilayah utara. Program ini dijangka melibatkan kerjasama strategik beberapa agensi pembangunan usahawan termasuk MARA, TERAJU serta institusi kewangan berkaitan.

Pertemuan ini merupakan makluman awal bagi menyelaras pelaksanaan program, di samping menjemput DPMM Kedah untuk turut serta sebagai rakan strategik dalam menjayakan program yang bertujuan memperkasa ekosistem perniagaan dan pelaburan usahawan Bumiputera.

Delegasi MIDA telah diketuai oleh En. Sukri Abu Bakar, Pengarah Bahagian Pelaburan Tempatan, MIDA Ibu Pejabat, manakala turut hadir Pengarah MARA Kedah, Encik Rizal Effendi bin Razali.

Kunjungan tersebut telah disambut oleh pengurusan tertinggi DPMM Kedah yang diketuai oleh Yang Dipertua DPMM Kedah, Datuk Zayad Ismail.

Dalam sesi perbincangan itu juga, pihak DPMM Kedah telah membangkitkan beberapa perkara penting berkaitan penglibatan dan penyertaan syarikat Bumiputera dalam rantaian bekalan industri serta peluang penyertaan dalam projek dan tender, termasuk keperluan meningkatkan akses maklumat, jaringan dengan syarikat besar serta sokongan agensi bagi memperkukuh daya saing usahawan Bumiputera.

Sehubungan itu, para usahawan serta ahli-ahli DPMM Kedah disaran untuk melapangkan masa pada 27 April 2026 bagi menyertai program ini yang dijangka memberi pelbagai manfaat termasuk perkongsian peluang pelaburan, sesi libat urus bersama agensi berkaitan, serta peluang jaringan perniagaan baharu.

Maklumat lanjut mengenai program ini akan diumumkan dan diwar-warkan dalam masa terdekat melalui saluran rasmi DPMM Kedah.

Semoga inisiatif seperti ini dapat terus memperkukuh pembangunan usahawan Bumiputera di Kedah dan wilayah utara secara menyeluruh, selaras dengan usaha memperkasa penyertaan mereka dalam sektor industri dan pelaburan negara.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *