Kesan FDI Kedah perlu dirasai PKS tempatan – DPMM Kedah

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR

23 April 2026 04:12pm

ALOR SETAR – Kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke Kedah yang positif dilihat belum dapat memberikan kesan kepada pemain perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan apabila mereka berdepan kesukaran menembusi rantaian industri syarikat multinasional.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Kedah, Zuhaizar Abdul Karim berkata, pelaburan berteknologi tinggi di kawasan seperti Kulim Hi-Tech Park, Padang Meha dan Bukit Kayu Hitam berjaya merangsang pertumbuhan ekonomi negeri dan seharusnya turut dirasai oleh PKS.

Menurutnya, tanpa campur tangan kerajaan negeri melalui mekanisme khusus, jurang antara pelabur besar dan usahawan tempatan akan terus melebar.

“Bagi usahawan PKS, bukan mudah untuk kita menembusi syarikat multinasional. Jadi, kita cadangkan agar kerajaan negeri dapat mewujudkan program pembangunan vendor, khusus untuk syarikat-syarikat berteknologi tinggi. Program ini boleh merangkumi vendor Bumiputera serta industri-industri berkaitan.

“Memang sebagai usahawan, kita perlu berusaha sendiri untuk mendekati syarikat-syarikat ini. Namun, usaha secara individu sering berdepan pelbagai kekangan,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-52 DPMM Kedah di sini pada Khamis.

Jelas Zuhaizar, sekiranya kerajaan negeri dapat menyediakan platform program pembangunan vendor kepada PKS, ia akan memudahkan akses dan membuka lebih banyak peluang.

Menurutnya, platform rasmi yang menghubungkan PKS dengan pelabur asing perlu diwujudkan segera bagi membuka akses lebih luas kepada usahawan tempatan untuk terlibat dalam rantaian bekalan industri berteknologi tinggi.

“Kalau tiada sistem yang jelas, usahawan hanya bergerak sendiri dan berdepan banyak kekangan. Ini menyebabkan peluang besar daripada FDI tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat tempatan,” ujarnya.

Tambahnya, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan mekanisme sokongan lebih menyeluruh agar manfaat pelaburan asing dapat diagihkan secara adil, sekali gus memperkukuh ekosistem ekonomi negeri.

Dalam perkembangan sama, beliau turut membangkitkan tekanan kos yang semakin menghimpit usahawan kecil susulan ketiadaan subsidi diesel, khususnya dalam sektor pertanian.

Katanya, kenaikan harga bahan api bukan sahaja menjejaskan operasi pengusaha, malah memberi kesan berantai kepada harga produk dan akhirnya membebankan pengguna.

“Tanpa bantuan khusus, usahawan tiada pilihan selain menaikkan harga. Ini akan memberi kesan terus kepada rakyat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Kedah mencatat pencapaian membanggakan apabila muncul sebagai tempat pertama bagi pelaburan diluluskan sektor pembuatan di Malaysia bagi tahun 2025, dengan nilai RM24.6 bilion.

Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, pencapaian itu meletakkan Kedah setanding dengan Johor serta mengatasi Pulau Pinang yang merekodkan pelaburan RM22.4 bilion.

Menurut beliau, sebanyak 84 projek sektor pembuatan diluluskan di negeri ini dengan jangkaan 14,017 peluang pekerjaan, melibatkan pelaburan domestik berjumlah RM1.78 bilion dan pelaburan asing sebanyak RM22.83 bilion.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *