PELANTIKAN KEPIMPINAN BAHARU DEWAN PERNIAGAAN MELAYU MALAYSIA NEGERI KEDAH BAGI PENGGAL 2026–2029.

23 April 2026, The Jerai Hotel, Alor Star

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Kedah telah melangsungkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-52 dengan jayanya hari ini dalam suasana penuh semangat perpaduan dan iltizam. AGM kali ini bukan sahaja mencatat kehadiran memberangsangkan daripada ahli-ahli, malah menjadi medan penting dalam menentukan hala tuju organisasi bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Mesyuarat Agung kali ini adalah pemilihan barisan kepimpinan baharu bagi penggal 2026 hingga 2029 yang akan menerajui organisasi.

Dalam pemilihan tersebut, En. Zuhaizar bin Abdul Karim telah dipilih sebagai Yang Dipertua baharu, menggantikan Datuk Mohd Zayad bin Md Ismail, yang menamatkan perkhidmatan selepas dua penggal kepimpinan.

Turut menganggotai barisan kepimpinan baharu ialah:

• Timbalan Yang Dipertua: En. Mohamad Naim bin Che Man

• Naib Yang Dipertua: En. Mohd Khairul bin Rohami

• Sembilan (9) Ahli Jawatankuasa, yang dipilih secara telus dan demokratik melalui proses pemilihan AGM.

Pelantikan barisan kepimpinan ini dilihat sebagai kombinasi strategik antara pengalaman dan tenaga baharu, yang diyakini mampu membawa pendekatan lebih progresif dan responsif terhadap keperluan semasa komuniti perniagaan.

Dalam ucapan penangguhan sulung, YDP baharu menegaskan komitmen untuk memperkukuh agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera melalui pendekatan yang lebih tersusun, inklusif dan berimpak tinggi. Antara fokus utama yang digariskan termasuk mempergiat latihan keusahawanan berimpak tinggi, khususnya kepada usahawan muda, serta memperkasa advokasi dasar agar suara usahawan Bumiputera lebih didengari dalam pembentukan polisi ekonomi.

Beliau turut menekankan kepentingan membina jaringan strategik yang lebih kukuh bersama agensi kerajaan, institusi kewangan, serta rakan industri, sebagai pemangkin kepada peluang perniagaan baharu dan peluasan pasaran.

Beliau turut beritizam yang kepimpinan baharu ini akan memperkukuh peranan DPMM Kedah sebagai platform penyatuan usahawan melalui penganjuran lebih banyak program berimpak, khususnya untuk pembangunan keusahawanan ahli-ahli.

Dalam masa yang sama, DPMM Kedah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan terdahulu atas dedikasi dan sumbangan besar dalam memperkukuh asas organisasi serta memperjuangkan kepentingan usahawan Melayu di negeri ini.

DPMM Kedah optimis untuk terus memperkukuh peranan sebagai wadah utama komuniti usahawan Melayu, seterusnya menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi Bumiputera yang mampan, inklusif dan berdaya saing khususnya di negeri Kedah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *