DPMM Kedah - Dewan Melayu Kedah - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kedah - DPMMK - Usahawan Melayu Kedah - Dewan Perniagaan

PENGUSAHA DEWAN MAKAN SEKOLAH BERASRAMA TERBEBAN

Isu pengusaha kantin sekolah terjejas ekoran penutupan dan pengiliran sekolah sering dibangkitkan terutama oleh persatuan yang mewakili mereka. Namun, kesan terhadap kontraktor dewan makan berasrama jarang dibangkitkan oleh mana-mana pihak. Baru-baru ini DPMM negeri Kedah telah menerima kunjungan beberapa kontraktor dewan makan bermasak seperti dari sekolah berasrama, pusat latihan serta kem latihan yang datang menyampaikan keresahan mereka.

Kontraktor dewan makan sekolah berasrama contohnya berdepan kekangan selepas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan murid bukan dari kelas peperiksaan tidak dibenarkan kembali ke asrama selepas cuti Tahun Baru Cina, dan bagi murid di sekolah berasrama penuh pula hanya sebahagian kecil murid dibenarkan masuk ke asrama. Walaupun memahami keperluan arahan tersebut tetapi langkah ini juga telah menjejaskan perniagaan mereka.  Pengumuman secara tiba-tiba ini menyebabkan kerugian bagi yang telah membeli stok bahan mentah lebih awal. Bukan semua jenis bahan mentah boleh disimpan lama. Sekiranya arahan diberitahu awal, pembelian boleh dirancang. Keadaan ini dibebankan lagi dengan kos elektrik untuk penyimpanan lebihan stok serta kenaikan harga barang mentah yang begitu ketara.

Lebih meresahkan lagi, pihak sekolah sering menekan supaya menuruti terma kontrak asal walaupun bilangan pelajar telah berkurangan. Pengurangan bilangan pelajar amat memberi kesan terutama pada Tuntuan Anggaran Bayaran yang terpaksa dikurangkan. Pada masa yang sama pihak sekolah mendesak supaya mengekalkan bilangan pekerja seperti dinyatakan dalam kontrak. Malahan ada kontraktor telah di denda oleh pihak sekolah atas alasan pelanggaran kontrak. Pihak sekolah seharusnya memahami yang pandemik Covid-19 dan kemudianya arahan KPM ini telah membawa kesan domino apabila ramai majikan terpaksa memberhentikan pekerja kerana tidak mampu menanggung kos.

Selain itu, mereka juga menghadapi kesukaran mendapat dan mengekalkan pekerja kerana ramai telah berhenti kerana hilang keyakinan terhadap sektor ini. Kekerapan arahan penutupan sekolah, selain majikan tidak mampu untuk menanggung gaji telah memudarkan lagi keinginan untuk terus bekerja. Tambah membebankan sekiranya kontraktor dewan makan telah membayar Bon Perlaksanaan namun perniagaan tidak dapat dijalankan, ataupun beroperasi dibawah nilai jaminan sebenar. Lantaran kerugian yang berterusan ini, ramai kontraktor yang kehabisan modal untuk meneruskan perniagaan. Ada yang tepaksa menghantar notis penamatan kontrak walaupun terpaksa kehilangan deposit.

Sehingga kini tiada sebarang kenyataan daripada kerajaan khususnya KPM. DPMM Kedah menyeru supaya KPM dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk segera turun berbincang dengan kontraktor dewan makan berasrama bagi mengatasi beberapa masalah yang sedang dihadapi mereka. Pihak kementerian juga perlu mengambil langkah membuat penilaian ke atas kerugian yang terpaksa ditanggung oleh semua sektor makanan bermasak sekolah berasrama di seluruh nagara akibat daripada arahan KPM ini. Pihak kementerian terlibat dan juga pengurusan sekolah perlu mengambil kira kaedah pembayaran mengikut kadar semasa bilangan pelajar dengan harga sewajarnya. Selain itu, kos pembayaran gaji pekerja dalam tempoh penutupan sekolah ataupun pengurangan pelajar ditanggung oleh pihak KPM. Pihak pengurusan sekolah juga perlu menggunakan budi bicara dalam membuat keputusan terutama barkaitan dengan kontrak perjanjian.

Kenyataan Media oleh:

Datuk Mohd Zayad bin Md. Ismail.

Yang Dipertua

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Kedah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *