30 SEPTEMBER 2026 | BALING, KEDAH
DPMM Negeri Kedah meneruskan agenda memperkukuh hubungan menerusi Lawatan ke Anggun Agro Sdn. Bhd., Baling, yang merupakan salah sebuah syarikat dalam kalangan ahli DPMM Kedah.
Lawatan ini diketuai oleh YDP, Tuan Haji Zuhaizar bin Abdul Karim, bersama seramai 13 orang ahli DPMM Kedah. Kunjungan ini bertujuan memberikan pendedahan secara langsung kepada delegasi mengenai operasi, teknologi, proses pengeluaran serta inovasi yang dilaksanakan oleh Anggun Agro dalam pembangunan produk makanan sedia dimakan.
Anggun Agro Sdn. Bhd. merupakan syarikat yang mempunyai keupayaan dalam pengeluaran OEM makanan retort, khususnya bagi produk-produk Ready-to-Eat (RTE) dan Ready-to-Cook (RTC).
Antara keistimewaan teknologi retort ialah keupayaannya menghasilkan produk makanan sedia dimakan yang mempunyai jangka hayat penyimpanan yang panjang, sekali gus membuka peluang kepada usahawan untuk membangunkan produk sendiri tanpa memerlukan proses penyediaan makanan secara konvensional oleh pengguna.
Lebih membanggakan, Anggun Agro turut mempunyai pencapaian dalam bidang inovasi produk apabila produk Telur Masin Retort telah meraih Johan Kategori Produk di Hari Anugerah Inovasi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Kebangsaan 2026.
Menerusi lawatan ini, delegasi DPMM Kedah berpeluang melihat dengan lebih dekat proses pembangunan produk, teknologi retort, pengeluaran makanan serta potensi perniagaan OEM yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan untuk membangunkan produk makanan berjenama sendiri.
Pengiktirafan Anggun Agro melalui beberapa anugerah yang dimenangi membuktikan bahawa inovasi, teknologi dan komitmen terhadap kualiti mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perusahaan tempatan serta membuka peluang baharu kepada lebih ramai usahawan untuk menceburi industri makanan.
Semoga kejayaan Anggun Agro Sdn. Bhd. terus menjadi inspirasi kepada seluruh komuniti usahawan DPMM Kedah untuk berani mencipta inovasi, memperkukuh produk serta mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi.






