Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Perdana Menteri Thailand baru-baru ini diharapkan ada inisiatif baru bagi memajukan lagi hubungan kedua-dua negara dalam membantu mencapai matlamat perdagangan dua hala, terutama kerjasama dalam mempromosikan dan integrasi pembangunan ekonomi di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia.
DPMM Kedah menyambut baik terutamanya inisiatif yang diambil dalam usaha mewujudkan keamanan di selatan Thailand. Ini merupakan petanda positif yang sememangnya sangat-sangat diharapkan oleh komuniti perniagaan di negeri-negeri di sempadan. Ini kerana walaupun Malaysia berada dalam keadaan aman, namun suasana ketidakstabilan pentadbiran dan politik di negara jiran mampu mencetuskan suasana tidak harmoni dan keresahan di kalangan penduduk di sempadan, selain menyebabkan pelaburan sukar dibawa masuk ke wilayah berkenaan dan turut menjejaskan kemasukan pelabur asing ke kawasan sempadan utara Semenanjung Malaysia. DPMM Kedah yakin sekiranya usaha ini membuahkan hasil, akan turut merangsang pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negara, terutama sekali di negeri-negeri dan wilayah di sempadan kedua negara.
Jika dilihat kepada tempoh masa sebelum ini seperti tidak banyak kemajuan dicapai untuk menamatkan konflik di wilayah di selatan Thailand yang terus kekal bergolak. Keadaan ini menyebabkan negeri-negeri yang berada di sempadan terbatas peluang ekonominya. Tambahan lagi, wilayah Satun, Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla yang bersempadanan dengan Malaysia, majoriti penduduknya beragama Islam. Adalah merugikan sekiranya tidak dimanfaatkan peluang pasaran yang besar terutama kepada usahawan-usahawan berasaskan produk halal dan mesra muslim di kedua-dua negara. Selain itu, Ketiga-tiga bandar raya Patani, Yala dan Narathiwat juga boleh membentuk segi tiga ekonomi bersama Perlis, Kedah dan Kelantan bagi merangsang pembangunan di wilayah dan negeri terbabit yang sememangnya sinonim dengan negeri termiskin.
DPMM Kedah berharap hubungan yang telah lama terjalin antara kedua negara akan terus diperkukuhkan lagi melalui pelbagai program terutama membabitkan perniagaan rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand. Contohnya, kekerapan penganjuran pameran perdagangan bersama merupakan satu inisiatif yang baik untuk memperluaskan ruang kerjasama dan perdagangan sempadan. Penganjuran acara-acara seperti ini akan dapat merangsang pertumbuhan dan pelaburan di tiga wilayah sempadan di selatan Thailand dan negeri-negeri utara semanajung, selain meningkatkan hubungan perdagangan antara usahawan Malaysia dan Thailand dan pada masa yang sama melahirkan lebih ramai pengusaha industri kecil dan sederhana (PKS) yang bakal mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.
Diharapkan juga supaya akan terlaksananya kesalinghubungan dalam perdagangan, pelaburan dan infrastruktur antara antara sempadan, selaian kemudahan perdagangan dan promosi kerjasama dalam industri berpotensi seperti industri produk pertanian dan makanan halal, selain menangani cabaran baharu dalam merangsang pemulihan ekonomi pasca- COVID-19 yang dilihat suram sebelum ini.
Dalam pada itu, pembangunan di kawasan sempadan terutama di sebelah Malaysia perlu dirancakkan lagi bagi menggalakkan aktiviti perdagangan di kawasan tersebut. Ini supaya berlaku pergerakan aktif dalam aktiviti eksport rentas sempadan. Selain pembangunan di kawasan sempadan akan turut menggalakkan usahawan mikro, khususnya di Kelantan, Kedah, dan Perlis, memasarkan produk keluaran mereka ke negara jiran.
Diharapkan usaha awal kedua-dua pemimpin tertinggi ini akan dapat dapat menyumbang momentum kepada proses dialog damai selatan Thailand yang lebih berkesan sebagai usaha menamatkan konflik tidak berkesudahan di selatan Thailand. DPMM Kedah sangat mengharapkan proses rundingan damai ini dapat diteruskan dan membawa kedamaian yang hakiki dan bermaruah bagi seluruh rakyat terutama di wilayah-wilayah selatan Thailand.
Moga kepemimpinan Anwar akan dapat mengukuhkan lagi profil beliau sebagai pemimpin Asia Tenggara yang mempunyai kebolehan meyelesaikan isu-isu serantau.
Kenyataan Media oleh:
Datuk Mohd Zayad bin Md. Ismail.
Yang Dipertua
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Kedah