Oleh M Hifzuddin Ikhsan – Mac 4, 2025 @ 3:14pm
Berita Harian
ALOR SETAR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah memandang serius cadangan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang mahu peruntukan disediakan kepada bukan Bumiputera dinaikkan kepada 10 peratus daripada keseluruhan peruntukan kepada Bumiputera.
Presidennya, Datuk Mohd Zayad Ismail, berkata cadangan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan ekonomi Bumiputera serta impaknya terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat Bumiputera di negara ini.
Jelasnya, laporan rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar kemiskinan mutlak dalam kalangan Bumiputera adalah 7.9 peratus pada 2022, jauh lebih tinggi berbanding kaum Cina (1.9 peratus) dan India (5.4 peratus).
“Menurut data terdahulu itu juga, penyertaan usahawan Bumiputera dalam ekonomi masih rendah. Pada 2014, hanya terdapat 27.6 peratus atau 283,200 daripada 1,026,100 syarikat berdaftar adalah milik Bumiputera. Walaupun data terkini tidak tersedia, trend ini menunjukkan keperluan meningkatkan sokongan kepada usahawan Bumiputera.
“Malah sasaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mencapai 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera sehingga kini masih belum tercapai dengan statistik tidak boleh menyembunyikan betapa teruknya keadaan sebenar ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Zayad menegaskan, sebarang perubahan dalam peruntukan perlu dilakukan penuh berhati-hati, mengambil kira kedudukan ekonomi semasa Bumiputera serta memastikan usaha meningkatkan daya saing dan keseimbangan ekonomi tidak tergugat.
Katanya, sebelum mencadangkan sebarang perubahan yang membabitkan Bumiputera, kerajaan harus terlebih dahulu memperincikan langkah konkrit dalam merangka agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.
“Cadangan ini boleh membawa beberapa implikasi besar antaranya pengurangan sumber untuk pembangunan Bumiputera, peningkatan jurang ekonomi dan ketidakpuasan sosial akibat perubahan dalam pengagihan peruntukan yang tidak seimbang.
“Ini akan menjejaskan keharmonian sosial serta kestabilan politik negara selain berpotensi menghalang usaha kerajaan merapatkan jurang ekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga ada mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan termasuk melalui Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) bagi memperkukuh agenda Bumiputera seperti meminta pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru 2.0 sebagai langkah strategik mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.
“Kita juga meminta dinaik taraf kriteria syarikat Bumiputera dalam perolehan kerajaan daripada 51 peratus kepada 100 peratus bagi memastikan manfaat sampai kepada sasaran sebenar dan membanteras aktiviti ‘Ali Baba’.
“Mengkaji semula syarat kelayakan kontraktor Bumiputera sebelum meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan memastikan 30 peratus kuota kontrak kerajaan diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera,” katanya.
Semalam, Guan Eng mencadangkan supaya peruntukan disediakan kepada bukan Bumiputera pada tahun depan dinaikkan kepada 10 peratus daripada keseluruhan peruntukan diagihkan kepada Bumiputera di negara ini.
Cadangan menaikkan peratusan peruntukan untuk golongan bukan Bumiputera itu disuarakan Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan, selaras hasrat Kerajaan Perpaduan yang mahu menjaga kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
Mengetengahkan Belanjawan 2022 sebagai contoh, beliau berkata golongan Bumiputera diperuntukkan dana bernilai RM11.4 bilion, manakala bukan Bumiputera diberi RM345 juta iaitu tiga peratus daripada keseluruhan nilai berkenaan.