PROGRAM SINERGI KEUSAHAWANAN 2025 ANJURAN DPMM KEDAH

Ahad, 26 Oktober 2025, Alor Setar – Alhamdulillah, Program Sinergi Keusahawanan 2025 anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Kedah telah melabuhkan tirainya dengan penuh kemeriahan dan semangat luar biasa!

Suasana sepanjang hari di The Jerai Hotel cukup meriah — dipenuhi dengan perkongsian ilmu, inspirasi dan peluang jaringan strategik antara usahawan, agensi serta pemain industri. Program ini membuktikan bahawa semangat sinergi dan kerjasama mampu melonjakkan potensi keusahawanan Negeri Kedah ke tahap yang lebih tinggi.

Acara petang menjadi lebih bermakna dengan kehadiran dan perasmian oleh YB Dato’ Haji Mohd Salleh bin Saidin, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah. Dalam ucapannya, YB Dato’ menegaskan pentingnya ilmu, inovasi dan jaringan strategik sebagai asas kukuh bagi melahirkan usahawan yang berdaya saing dan berwawasan.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada Asnaf Usahawan anak Kedah, hasil agihan semula kutipan zakat melalui Yayasan DPMM Kedah — melambangkan komitmen DPMM dalam memajukan ekonomi ummah dan menyantuni golongan yang memerlukan.

Sesi petang diteruskan dengan Bual Bicara Usahawan: “Game Changer Business – Ubah Strategi, Kuasai Pasaran”, menampilkan dua ikon usahawan bumiputera berjaya:

• Dato’ Haji Zaihal Hazri Haji Abdul Halim, Pengarah Urusan Al-Meswak Mu’min Sdn. Bhd.

• Tuan Haji Faizal Zainon, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EMZI

Perkongsian mereka benar-benar memberi “real talk” tentang cabaran dan strategi sebenar dalam membina empayar perniagaan yang kukuh dan mampan.

Turut berlangsung Sesi Klinik Usahawan bersama Agrobank, memberi peluang kepada peserta mendapatkan khidmat nasihat terus daripada pakar pembiayaan. Booth agensi kewangan utama turut memeriahkan program, antaranya: Bank Simpanan Nasional (BSN), AmBank, Bank Rakyat dan MicroLeap

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat — para usahawan, ahli DPMM Kedah, pelatih institusi kemahiran, rakan agensi kerajaan, NGO, serta seluruh pasukan penganjur yang bekerja keras menjayakan program ini dari awal hingga akhir.

Insya-Allah, dengan sokongan berterusan Kerajaan Negeri Kedah dan kerjasama erat komuniti usahawan, DPMM Kedah akan terus komited membina ekosistem keusahawanan yang inklusif, progresif dan berdaya tahan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *