30 Disember 2025 | Sungai Petani.
Petang ini, Dewan Muda DPMM Negeri Kedah telah mengadakan satu sesi pertemuan bersama Yang Berhormat Dr. Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, bagi mendengar serta bertukar pandangan berkaitan usaha memperkasakan golongan belia, khususnya dalam bidang keusahawanan.
Dalam sesi tersebut, Dewan Muda DPMM Negeri Kedah turut menyatakan komitmen untuk berperanan sebagai platform sokongan dan pemudah cara kepada belia yang berminat menceburi dunia perniagaan, termasuk melalui jaringan industri, perkongsian ilmu serta kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan swasta.
YB Dr. Taufiq Johari menyambut baik inisiatif dan pandangan yang dibentangkan, serta menegaskan komitmen Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menyokong pembangunan keusahawanan belia melalui pelaksanaan program berimpak tinggi, inisiatif pembangunan kapasiti serta kerjasama strategik yang berterusan dengan pihak berkepentingan.
Secara keseluruhan, pertemuan ini berlangsung dalam suasana yang positif dan konstruktif, serta diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekosistem keusahawanan belia, khususnya di Negeri Kedah, selari dengan aspirasi melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya saing dan mampan.


