30 Julai 2026.
Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia, Songkhla, Thailand.
Delegasi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Kedah yang diketuai oleh Yang Dipertua, Tuan Haji Zuhaizar bin Abdul Karim, bersama barisan Jawatankuasa Negeri serta ahli-ahli DPMM Kedah telah mengadakan sesi kunjung hormat ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
Kunjungan ini disertai seramai 42 orang delegasi sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan hubungan strategik, jaringan perniagaan serta kerjasama ekonomi antara usahawan Kedah dan wilayah selatan Thailand.
Delegasi DPMM Kedah telah disambut oleh:
1. En. Muhamad Danial Atif Nasiren – Konsul I
2. En. Mohamad Ridzuan Zainon – Konsul III
Dalam sesi perbincangan tersebut, beberapa perkara berkaitan peluang kerjasama ekonomi rentas sempadan telah dibincangkan, antaranya usaha mendapatkan jaringan pengedar halal (genuine halal distributor) di selatan Thailand bagi membantu usahawan Kedah menembusi pasaran Thailand, serta membina hubungan lebih erat dengan pihak Economic Consular di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia, Songkhla.
Turut diketengahkan ialah cadangan penganjuran Kedah Festival di Hat Yai sebagai platform mempromosikan produk, budaya, pelancongan dan peluang perniagaan Kedah kepada masyarakat Thailand. Perbincangan juga menyentuh potensi memperluaskan hubungan perdagangan dua hala dengan melibatkan lima wilayah utama di selatan Thailand, selain perkongsian ilmu, pemindahan pengetahuan (knowledge transfer) dan kolaborasi strategik antara pemain industri kedua-dua negara.
Selain aspek perdagangan, DPMM Kedah turut mencadangkan agar Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dapat memainkan peranan sebagai rakan strategik bersama pemain industri pelancongan di Kedah dalam meneliti keperluan, strategi dan gerak kerja yang bersesuaian bagi menarik lebih ramai pelancong dari wilayah selatan Thailand untuk berkunjung ke Kedah. Kerjasama ini dilihat penting dalam memperkukuhkan promosi pelancongan dua hala, memperluaskan jaringan industri pelancongan serta membuka peluang ekonomi baharu kepada pemain industri tempatan.
Kunjungan hormat ini menjadi langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan Malaysia–Thailand, khususnya antara Kedah dan wilayah selatan Thailand, ke arah membina ekosistem perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan yang lebih kukuh serta berdaya saing.











