KONVENSYEN USAHAWAN BUMIPUTERA 2035 (KUB2035).
27 Ogos 2026 | Alor Setar, Kedah
DPMM Negeri Kedah berbesar hati apabila ahli-ahli DPMM Kedah turut mengambil bahagian dalam Konvensyen Usahawan Bumiputera 2035 (KUB2035) yang berlangsung di RAIA Hotel & Convention Centre, Alor Setar, Kedah.
KUB2035 yang bertemakan “Bumiputera 2035: Menguasai Ekonomi Masa Depan” menghimpunkan kira-kira 1,000 usahawan, pemimpin industri, tokoh korporat, institusi kewangan, agensi kerajaan dan ahli akademik bagi membincangkan hala tuju, cabaran serta peluang pembangunan usahawan dan ekonomi Bumiputera menuju tahun 2035.
Konvensyen ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, manakala Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut dijemput menyampaikan ucapan.
Antara agenda penting yang diketengahkan ialah konsep 3P – Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan, yang menekankan keperluan usahawan Bumiputera bukan sahaja terlibat dalam rantaian ekonomi, tetapi turut meningkatkan pemilikan aset, penguasaan pasaran serta keupayaan untuk bersaing dalam sektor-sektor ekonomi bernilai tinggi.
Bagi DPMM Kedah, penyertaan dalam platform seperti KUB2035 amat penting sebagai ruang untuk mendengar, memahami dan membawa aspirasi serta keperluan usahawan Bumiputera di Kedah ke peringkat yang lebih luas.
DPMM Kedah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak MARA Kedah atas jemputan serta peluang yang diberikan kepada ahli-ahli DPMM Kedah untuk menyertai konvensyen yang amat bermakna ini.
Semoga penyertaan ini dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama, jaringan perniagaan, akses kepada pembiayaan, peluang pasaran serta perkongsian ilmu yang mampu memberi manfaat kepada komuniti usahawan Bumiputera di Kedah.
Bersama kita membina perusahaan Bumiputera yang lebih berdaya saing, berinovasi, berdaya tahan dan berimpak tinggi menuju 2035.







