24 Ogos 2026
Selepas selesai sesi perbincangan dua hala antara DPMM Negeri Kedah dan Delegasi Perdagangan Wilayah Trang, delegasi telah dibawa melawat ke Kompleks Pekan Rabu sebagai sebahagian daripada pengisian kunjungan mereka ke negeri Kedah.
Delegasi yang diketuai oleh YB Anan Boon-Samran, Timbalan Gabenor Wilayah Trang, Thailand, telah disambut oleh Bendahari Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad (KPRASB), Tuan Haji Abdul Hamid bin Mohamad, bersama barisan Ahli Lembaga Koperasi, Puan Monaliza binti Johari dan Encik Mohd Naziman bin Md. Kasa. Turut hadir mewakili pihak pengurusan KPRASB ialah Encik Ariffin bin Nordin.
Lawatan ke Pekan Rabu ini dicadangkan DPMM Kedah bagi memberikan peluang kepada delegasi Trang untuk mengenali dengan lebih dekat salah satu ikon perdagangan, keusahawanan dan warisan negeri Kedah. Selain memperkenalkan sejarah serta peranan Pekan Rabu dalam perkembangan ekonomi dan perdagangan masyarakat setempat. Delegasi turut diperkenalkan kepada pelbagai produk makanan dan barangan tradisional yang sinonim dengan Kedah.
Menariknya, delegasi turut diberi pengalaman melihat sendiri proses pembuatan tradisional kuih karas, salah satu makanan tradisional yang cukup terkenal di Pekan Rabu. Pengalaman ini memberikan gambaran secara langsung mengenai keunikan produk warisan tempatan yang terus dipertahankan dan mempunyai potensi untuk diketengahkan kepada pasaran yang lebih luas.
Bagi DPMM Kedah, lawatan seperti ini bukan sekadar pengisian program, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkenalkan kekuatan ekonomi, produk tempatan, budaya dan warisan Kedah kepada rakan dagang dari luar negara.
DPMM Kedah merakamkan penghargaan kepada Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad atas sambutan dan perkongsian yang diberikan kepada delegasi Wilayah Trang.
Semoga kunjungan ini menjadi satu lagi langkah dalam memperkukuhkan hubungan Malaysia–Thailand, khususnya antara komuniti perniagaan Kedah dan Trang.
PEKAN RABU – DESTINASI WARISAN KITA













