Alhamdullilah, selesai sudah Ekspo Asean Halal 2022 yang berlansung selama 5 hari di Asean Mall Pattani bermula dari 29 Jun – 3 Julai 2022. Program ekspo ini adalah merupakan anjuran Uniti Link Sd Bhd dan Prince Songkla University (PSU) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Antara objektif penganjuran ekspo ini adalah untuk memberi pendedahan kepada usahawan mempekenalkan dan mempromosikan produk-produk disamping membina rangkaian hubungan di antara usahawan Malaysia-Thailand.
Oleh itu, boleh kita faham bahawa tujuan ekspo ini bukan untuk membuat jualan semata-mata tetapi lebih kepada melakukan survey berkenaan dengan pasaran Thailand terutama dari segi segmen pemintaan produk, julat harga yang sesuai dan persepsi masyarakat tempatan terhadap produk.
DPMM Kedah juga melihat penganjuran ekspo seperti ini memberi manfaat sebagai medan untuk mempromosi serta membina tapak kerjasama terutama kepada usahawan-usahawan yang menyertainya. Dengan adanya penganjuran seperti ini dapat memberi peluang kepada usahawan-usahawan terutamanya usahawan PMKS untuk membina semula perniagaan secara bersemuka, yang mana tidak dapat dilakukan dalam tempoh PKP yang panjang sebelum ini.
Di sini, penyertaan DPMM Kedah dalam ekpso ini dilihat lebih sebagai pemudahcara dalam membantu usahawan membina jaringan perniagaan. Membuat jualan dan keuntungan segera/jangka pendek bukanlah di antara tujuan utama.
Dalam tempoh ekspo ini juga, DPMM Kedah telah terlibat dalam sesi ‘business matching’ bersama beberapa ‘buyer’ di sini, yang mana ada di antara mereka berminat untuk mengujungi DPMM Kedah untuk berjumpa sendiri dengan pengusaha produk berdasarkan segment produk yang mereka berminat. Selain itu, terdapat juga usahawan terutama dari negeri Kedah berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang DPMM Kedah, terutama pada sesi lawatan YDP ke setiap booth jualan.
Bagi DPMM Kedah, penyertaan ini dilihat sebagai bermanfaat terutama sebagai tapak permulaan bagi mempromosi produk ahli-ahli ke pasaran Thailand.
Semoga ada rezeki kita takluki pasaran Thailand, dengan izin Allah