DPMM Kedah - Dewan Melayu Kedah - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kedah - DPMMK - Usahawan Melayu Kedah - Dewan Perniagaan

KEPERLUAN TENAGA KERJA ASING KINI SANGAT MENDESAK

Banyak sektor dilihat terjejas apabila tenaga kerja berkurang. Dari industri makanan, pembuatan, perladangan, perkilangan dan perkhidmatan, semuanya mempunyai kesan disebabkan kekurangan tenaga kerja untuk mengekalkan kemampanan sehingga mengakibatkan kerugian. kekurangan tenaga kerja ini malah turut menjejaskan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan perkhidmatan mereka. Maklumbalas daripada Komuniti perniagaan menyatakan bahawa mereka telah menghabiskan banyak masa dan sumber untuk mengisi isu kekurangan tenaga kerja, namun masih tidak berjaya selesaikannya. Banyak usaha untuk mengambil pekerja daripada rakyat tempatan walaupun kebanyakan mereka sering meletakkan jawatan dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas diambil bekerja. Keadaan ini secara tidak lansung menganggu proses perniagaan mereka. Oleh itu, keperluan kepada tenaga buruh asing ini dilihat sangat-sangat mendesak ketika ini.

Majikan dalam kalangan industri masih ternanti-nanti keputusan kerajaan untuk membawa masuk pekerja asing ke negara ini setelah permohonan mereka sudah dibuat awal. Namun sehingga hari ini, tiada tarikh tepat untuk kemasukan pertama pekerja asing. Disamping itu, ramai peniaga mengeluh proses permohonan dan kelulusan dalam pengambilan dilihat tidak berjalan lancar.  Walaupun menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, seramai 24,560 pekerja asing telah menyelesaikan proses temu duga pada 27 April lalu namun sehingga hari ini masih tiada berita tentang status permohonan mereka. Selain itu, jumlah tersebut dilihat sangat rendah jika dibandingkan dengan jumlah permohonan yang lebih kurang 519, 937 setakat 7 April yang lalu. Ini ditambah lagi lebih 290 ribu permohonan dikatakan masih belum diproses, selain 40 ribu permohonan dikatakan ditolak atas sebab-sebab tertentu. Daripada angka-angka ini, pastinya penantian industri untuk mendapat sumber tenaga kerja dengan kadar segera tidak akan dapat dipenuhi.

Demi kelansungan eko-sistem perniagaan dan bagi menyokong industri dan komuniti perniagaan, DPMM Kedah menyeru kepada kerajaan untuk memberikan arahan dan garis masa yang pasti dalam proses pengambilan pekerja asing ini secepat mungkin. Satu penyelesaian segera perlu diambil sebagai langkah jangka pendek sehingga semua isu mengenai pengambilan tenaga kerja asing dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

DPMM Kedah melihat peri pentingnya memastikan rantaian bekalan tenaga kerja kekal stabil, dan sebarang tekanan akibat daripada penawaran dan permintaan termasuk bekalan tenaga kerja akan memberi kesan terhadap eko-sistem perniagaan. Kesan domino pasti berlaku jika masalah tenaga kerja ini terus membelenggu. Banyak syarikat perniagaan akan terpaksa ditutup sekali gus akan menimbulkan isu-isu ekonomi yang lain. Isu kenaikan harga dan kadar inflasi juga akan turut terkait. Indek harga pasti terus meningkat jika pengeluar ataupun pengilang di luar sana tidak mampu untuk membekalkan apa yang diminta oleh pasaran seperti bekalan tenaga kerja. Oleh itu, pengambilan tenaga buruh asing dilihat salah satu insentif yang perlu bagi memastikan pengeluaran industri yang berterusan seterusnya akan dapat membantu menstabilkan harga di pasaran. Kesan daripada inflasi global termasuk di Malaysia juga dilihat akan lebih cepat berlaku sekiranya isu membabitkan kekurangan tenaga kerja tidak diatasi dalam tempoh terdekat.

Kenyataan Media oleh:

Datuk Mohd Zayad bin Md. Ismail.

Yang Dipertua

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Kedah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *