kunjungan hormat ke atas YBhg. Dato’ Dr. Nadzman bin Mustaffa, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Kedah

28 Mei 2025 | Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Kedah pagi ini telah mengadakan satu sesi kunjungan hormat ke atas YBhg. Dato’ Dr. Nadzman bin Mustaffa, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Kedah. Delegasi DPMM Kedah diketuai oleh Yang Dipertua, Datuk Mohd Zayad Ismail, bersama Mantan YDP, Tuan Haji Zuhaizar Abdul Karim, serta ahli jawatankuasa DPMM Negeri.

Kunjungan ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara DPMM dan Kerajaan Negeri dalam memperkasa ekosistem keusahawanan Melayu. Dalam sesi perbincangan, pelbagai isu kritikal diketengahkan termasuklah keterbatasan akses kepada projek kerajaan, kerenah birokrasi, serta keperluan peningkatan kemahiran dan daya saing usahawan tempatan.

DPMM turut menyuarakan keluhan usahawan Melayu secara terus kepada pihak kerajaan, dengan harapan penyelesaian tuntas dapat dirangka bersama secara berstruktur dan berfasa.

Dalam pertemuan itu, YBhg. Dato’ Dr. Nadzman turut memperincikan visi Gagasan The Greater Kedah, yang disifatkan sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi negeri secara inklusif dan mampan. Gagasan ini bukan sekadar projek fizikal, tetapi menekankan pemerkasaan keusahawanan, penggunaan teknologi, dan penglibatan aktif sektor swasta.

Beliau turut mengiktiraf peranan DPMM sebagai rakan strategik penting kerajaan dalam menjayakan transformasi ekonomi negeri, terutamanya dalam memajukan usahawan Bumiputera.

DPMM Kedah menyambut baik keterbukaan dan komitmen pihak kerajaan negeri. Pertemuan ini dianggap sebagai titik tolak kepada kerjasama jangka panjang yang lebih erat dalam melonjakkan kedudukan ekonomi usahawan Melayu dan menjadikan Kedah sebagai hab keusahawanan utama di utara Semenanjung Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *